PKR Selangor terutama pengerusinya,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa akur dengan arahan Pakatan Harapan (PH) agar diwujudkan sebuah
jawatankuasa khas bagi membincangkan soal agihan kerusi di negeri itu.
Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham
Hashim berkata jawatankuasa itu perlu ditubuhkan dengan kadar segera
memandangkan PH negeri itu perlu memuktamadkan senarai agih kerusi pada 7
Februari depan.
"Keputusan ini dari Majlis
Presiden. PKR pun ada dalam itu. Semua setuju. Cuma kita nie (peringkat)
negeri, kita sebagai anak, kita ikutlah arahan. Sebenarnya (PH Pusat) dah bagi
arahan selesaikan sehingga 31 Januari tapi bila tak selesai, maka (PH) Pusat
masuk campurlah.
"7 Februari itu semua (agih
kerusi) kena selesai. Bukan baru Pusat nak masuk (campur). Itu sasaran kita.
Saya rasa mungkin dalam Isnin (5 Februari) mereka akan panggil. Minggu ini
banyak hari cuti," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir
Mohamad mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas di Selangor bagi memuktamadkan
isu agih kerusi di negeri itu.
DR MAHATHIR BERTEGAS JAWATANKUASA PILIHAN RAYA PH
SELANGOR TIDAK BOLEH DIGUNAKAN UNTUK BERBINCANG SOAL AGIH KERUSI.
Terdahulu, pimpinan PKR Selangor
mempertahankan tindakan mereka menggunakan jawatankuasa Pilihan Raya PH negeri
untuk berbincang mengenai agih kerusi.
Namun, Amanah, PPBM dan DAP melihat
keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas memandangkan Jawatanakuasa Pilihan
Raya PH adalah lebih kepada strategi dan gerak kerja menuju pilihan raya.
Izham dalam pada itu mengulas kenyataan
Azmin bahawa faktor kebolehmenangan lebih penting daripada mengejar sesuatu
tempoh dalam mengagihkan kerusi sesama parti komponen PH.
"Tak boleh..tak boleh..itu bukan
keputusan dia. Keputusan ini, keputusan Majlis Presiden yang tetapkan 7
Februari. Kita harus ikut (arahan). Kalau kita dalam organisasi, tapi tak boleh
ikut arahan, kecohlah. Jadi huru-hara. Negeri lain dah hampir selesai, pasal
apa Selangor tak boleh (selesai).
"Selain daripada timbalan presiden
(PKR) dia juga Pengerusi PKR Selangor jadi kena ikut arahan. Dia kena belajar
ikut arahan dari Pusat. Bukan dia yang tentukan semuanya. Dalam perjanjian
Pakatan Harapan, PKR salah satu komponen parti, tidak ada bersangkut dengan
jawatan menteri besar.
"Menteri besar hanya uruskan
pentadbiran sahaja. Bila masuk bab rundingan, dia (dirujuk) sebagai Pengerusi
PKR," jelas Izham panjang lebar.
Ditanya adakah campurtangan PH Pusat
dalam agihan kerusi di Selangor akan menjadi kecoh sepertimana yang berlaku di
Negeri Sembilan minggu lalu, Izham berkata beliau yakin insiden sedemikian
tidak akan berlaku di negeri itu.
Katanya, pimpinan PH Pusat akan
meneliti dan merujuk PH negeri terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,
justeru isu ketidakpuasan hati rakan komponen di Selangor boleh diatasi.
"Sebarang kerusi di peringkat
negeri atau Pusat, dibincang dengan negeri. Bahkan kerusi Parlimen pun kita
rujuk negeri dahulu. Sebab kita nak tahu maklum balas. Tak ada keputusan yang
dibuat di peringkat Pusat tak dirujuk negeri terlebih dahulu.
"Biasanya pengalaman kita, 80
hingga 90 peratus daripada (agihan) kerusi itu boleh selesai. Yang 10 peratus
bertindan itu, yang kita perlukan sokongan daripada (PH) Pusat untuk
selesaikannya," ujarnya.
Antarapos bagaimanapun menghubungi
Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan beliau berkata
pihaknya tetap akan menggunakan jawatankuasa itu untuk tujuan agih kerusi
sehingga menerima arahan selanjutnya daripada Azmin.
Sumber: KLIK DISINI